 |
maharaja_zhouAugust 8th Male Malaysia
Assalamualaikum wbt
Blog ini merupakan koleksi kepada tulisan-tulisan Maharaja Zhou yang pernah disiarkan di dalam Laman Idealis Mahasiswa.
Maharaja Zhou telah berkecimpung dengan laman Idealis-Mahasiswa sejak dari tahun 2002. Namun begitu, beliau mula mendominasi laman tersebut bersama penulis-penulis yang lain seperti Awang Sulung, Harimau Hitam, Samlin, Syed Reedza sebagai penulis tegar sejak pertengahan tahun 2004 sehinggalah kini di laman tersebut.
Nama Maharaja Zhou sebenarnya merupakan nama antagonis di dalam siri Alam Perwira yang pertama. Namun, beliau sememangnya wujud sebagai manusia bukannya semata-mata watak rekaan Tony Wong. Menjadi pemerintah terakhir dinasti Shang, beliau diingati oleh sejarawan China sebagai seorang maharaja yang zalim.
Tetapi, harus diingat bahawa sejarah ditulis oleh mereka yang menang. Maka, tidak mustahil sebenarnya nama Maharaja Zhou dicemari oleh dinasti yang berikutnya untuk menggambarkan kekejian baginda dan jasa baik baginda telah dikaburkan dan dipadam dari kitab-kitab sejarah.
Berdasarkan hakikat tersebut, perkara yang sama telah berlaku kepada penyokong-penyokong kerajaan apabila mereka tewas di tangan mahasiswa PAS sejak tahun 1996. Mereka telah diberikan reputasi yang buruk oleh penyokong-penyokong pembangkang khususnya oleh penyokong PAS yang berselindung di sebalik Persatuan Mahasiswa Islam (PMI) di kampus-kampus.
Oleh itu,kehadiran Maharaja Zhou diharapkan dapat memberikan impak baru kepada politik kampus dan seterusnya membersihkan nama penyokong-penyokong kerajaan di IPTA. Kiranya ini tidak dilakukan, nama penyokong kerajaan di dalam lipatan sejarah akan tercemar, samalah seperti mana tercemarnya nama Maharaja Zhou, Maharaja Dinasti Shang yang terakhir!
|
 |
 |
 |
 |
 |
 |
|
|
 |
 |
Saturday, November 29, 2008
Sampai Bilakah Team Erdogan PAS Ingin Bersubahat Dengan Arak?
Pada mulanya penulis agak gembira kerana akhirnya sudah ada satu perkara yang PAS mampu lakukan di Selangor iaitu membataskan penjualan arak di Selangor.Malahan, PAS Selangor sudah hampir berjaya sehinggalah Majlis Bandaraya Shah Alam hampir mahu melaksanakan pengharaman tersebut terutamanya di 7 Eleven dan kedai-kedai yang seumpama dengannya.
Penyokong Khalid Samad gembira dan kembang sehinggakan ada komen-komen yang mengatakan tatkala Khalid dipecat, Shah Alam (di bawah Khalid) telah berjaya mengharamkan arak tetapi ada manusia Islam di Gombak Setia naungan Hassan Ali masih tunggang terbalik dengan khamar.Namun,kembang kempis hidung penyokong Khalid menguncup semula apabila khabar sedih dari pejabat Menteri Besar "menangguhkan" hasrat suci MBSA.
Menurut Khalid,"Keputusan exco negeri hanya (memutus) meningkatkan penguatkuasaan, melarang penjualan alkohol kepada mereka bawah 18 tahun, dan juga kepada masyarakat Islam. Jadi selepas perjumpaan kita dengan mereka yang berkenaan seperti pemilik kedai, pihak berkuasa tempatan (PBT) dan NGO-NGO, barulah kita akan membuat beberapa keputusan pelaksanaan."
Ternyata keputusan Menteri Besar itu banyak dipengaruhi oleh exco "terkanan" negeri yakni Teresa Kok.Menurut Malaysiakini,Teresa Kok berkata cadangan mengetatkan jualan minuman keras di kedai-kedai 24 Jam dibantah oleh "ramai" exco.Maka, malanglah sekali PAS kerana "ramai" exco Kerajaan Selangor lebih senang dengan arak daripada mengharamkan arak seperti mana yang disyariatkan oleh ugama.
Semalam bermulalah Kongres Tahunan Kelima PKR,di Stadium Melawati. Hadir sama adalah pemuka-pemuka Erdogan PAS iaitu Husam Musa, Kamaruddin Jaafar,Khalid Samad,Nizar Jamaluddin (MB Perak) dan Lo'Lo' Ghazali. MB Selangor,Khalid Ibrahim sekali lagi selepas mengkhianati PAS dalam usaha pengharaman arak mengharapkan parti-parti Pakatan Rakyat agar menghormati antara sesama parti komponen Pakatan Rakyat memetik petikan yang disiarkan dalam Harakahdaily hari ini.
Kita hairan PAS seperti sudah masuk dalam lubang bukan hanya sekali,tetapi banyak kali.Hairan juga sebuah parti yang mengaku Islam ini seolah-olah tidak mendengar sabda Nabi bahawa orang Islam tidak akan masuk ke dalam lubang dua kali. Bukan sekadar tidak menyokong,malahan mengarahkan keputusan mengharamkan arak ditarikbalik di dalam kawasan yang dipimpin oleh orang yang biasa berusrah dan bertamrin.Begitu hinanya mereka diperlakukan tetapi masih belum sedar.
Sudah banyak kali PAS digigit oleh PKR dan DAP dalam hal ehwal melaksanakan hukum Islam tetapi ada di antara pimpinan mereka yang masih terhegeh-hegeh menempel ke majlis manusia-manusia yang tidak menyokong usaha Islamik mereka.
Maka,bolehlah golongan Erdogan PAS ini diumpamakan bagaikan anjing,diberikan makan pun terjulur,tidak diberikan makan pun masih terjulur dengan tiada malunya di majlis-majlis anjuran Anwar dan PKR.
Posted at 09:16 pm by maharaja_zhou
Permalink
Wednesday, November 26, 2008
Hassan Ali Isytihar Perang Ke Atas JIM Dalam PAS?
Angin tiada,ribut tiada,tiba-tiba sahaja Dato' Hassan Ali, Pesuruhjaya PAS Selangor memecat dua nama besar dalam Gerakan Islam Malaysia, Khalid Samad(Pengasas Suara Islam UK) dan Saari Sungib(Abu Urwah yang banyak menulis dan menterjemah buku-buku haraki serta pernah menjadi Amir IRC) dari Badan Perhubungan PAS Selangor.Tindakan Hassan Ali seperti dalam kitab perang Sun Tzu, mencantas tanpa ada pokok bergoyang.
Inilah sebenarnya hakikat di dalam PAS.Soal pecat-memecat sangat garang berlaku terutamanya di antara faksi-faksi yang berlainan.Tahun 2009 bukannya terlalu lama untuk ditunggu, tetapi nampaknya Hassan Ali seperti sudah kepanasan berhadapan dengan dua nama ini. Kita tidak tahu bagaimanakah jikalau mereka memerintah negara nanti. UMNO hendak memecat orang pun berfikir seribu kali,dan jika dipecat pun tentulah salahnya besar bukannya sekadar mengkritik pimpinan.Politik sebegini adalah politik Sivaji the Boss,bukannya politik Melayu.
Penulis melihat berita ini dari pelbagai aspek.Pemecatan ini tentunya mengundang dan menjemput kemarahan besar golongan JIM dalam PAS.Penulis mendengar di dalam PAS sendiri ada jamaah dalam jamaah.Tokoh-tokoh yang dikatakan dihantar masuk ke dalam PAS oleh golongan IRC ini seperti Dr Hatta Ramli, Dr Mariah Mahmud,Mujahid Yusof Rawa,Dr Hatta Ramli,Saari Sungib sendiri dan juga Dr Lo'Lo' Ghazali.Ini tidak menjadi rahsia lagi kerana salah satu komen pembaca dalam Tranungkite mengesahkan tulisan penulis.
Selangor sebagai sebuah negeri yang kaya tentulah menjadi rebutan.Maka, kes pemecatan Khalid Samad dan Saari Sungib mengesahkan bahawa Hassan Ali tidak mahu PAS ditekan oleh proksi JIM dalam PAS ataupun PKR dalam menentukan hala tuju PAS Selangor.Reaksi ini ditunjukkan oleh pelbagai individu dalam PAS serta media-media utama. Namun, untuk kepentingan Melayu dan Islam, Hassan Ali lebih wajar berada di jawatan tersebut berbanding dengan nama-nama yang dipecat kerana lebih konsisten dalam mempertahankan hak Melayu sebagai perbandingan.Bagi yang lain, mereka lebih berminat dengan kuasa atas nama mengukuhkan Pakatan Rakyat dan melupakan serta meremeh-remehkan agenda Islam dan Melayu.
Namun, kes pemecatan ini senyap diperkatakan oleh media-media PAS.Mereka lebih galak menceritakan "pergolakan" UMNO dari menjaga kain sendiri. Berita pemecatan ini mengecewakan penyokong PAS yang mahukan sumber bebas "fasiq dan munafiq" kerana hanya Utusan Malaysia dan Malaysiakini yang melaporkan berita ini.
Sumber Harakahdaily pula mengelirukan kerana menyebutkan Iskandar Abdul Samad,Adun Cempaka sebagai Timbalan YDP II padahal dia adalah Timbalan YDP III mengikut laman web Badan Perhubungan PAS Selangor.Jika ini disengajakan maka Harakah sengaja berbohong kerana berita tersebut seolah-olah menggambarkan Timbalan YDP II redha dan cuba mengelakkan penyokongnya tidak berpecah.Oleh itu, penyokong PAS yang bijak akan melihat penipuan yang cuba dilakukan oleh lidah organ parti tersebut semasa isu itu masih hangat diperbincangkan semalam.
Pemecatan Khalid Samad dan Saari Sungib menunjukkan bahawa PAS Selangor mempunyai dilema.Walaupun hari ini, Khalid diberitakan bersetuju dengan pemecatannnya, namun jika diterjemahkan kenyataannya, ternyata ia lebih berbentuk sindiran:
"Ia adalah soal memberikan Dato'Dr. Hassan Ali peluang sepenuhnya untuk membuktikan keberkesanan kepimpinan beliau dalam menjayakan kerajaan negeri Pakatan Rakyat,"
Ini bermakna Khalid Samad dan juak-juaknya akan melihat bagaimana Hassan Ali bersendirian berhadapan dengan sekutu mereka dalam kerajaan Pakatan Rakyat Selangor tanpa dibantu oleh penyokong-penyokong PAS dari latarbelakang tanzim JIM.Ini akan melemahkan lagi kekuatan jentera PAS di Selangor.
Buat masa ini, penulis yakin bahawa aparat-aparat JIM di dalam PAS Selangor tidak akan berdiam diri.Kita akan melihat pelbagai kelemahan Hassan Ali bakal didedahkan terutamanya di Tranungkite dan blog-blog kepunyaanahli-ahli JIM dalam PAS.Inilah masanya kita akan melihat kembali kata-kata Khalid Samad bagaimana Hassan Ali bakal membuktikan keberkesanan kepimpinan beliau!
Posted at 12:36 pm by maharaja_zhou
Permalink
Sunday, November 23, 2008
FAKTA:Antara Agenda Negeri atau Peribadi Dato' Seri Nizar
Kerajaan Negeri Perak telah mengisytiharkan bahawa suatu unit penerangan khas telah dibentuk untuk menangani propaganda BN.Begitulah seperti yang dinyatakan oleh Harakahdaily hari ini. Nampaknya,Menteri Besar Perak lebih mementingkan soal-soal propaganda dan dakyah daripada kerja sebenar iaitu membangunkan negeri Perak.
Pengumuman itu dilakukan semasa berucap merasmikan majlis Urus Setia Penerangan Kerajaan Negeri Perak di Dewan Serbaguna, Bangunan Setiausaha Kerajaan (SUK) semalam.Usaha pertama ini dimulakan dengan penerbitan Edisi Khas FAKTA.Sebanyak 30,000 cetakan akan diberikan secara percuma kepada rakyat negeri Perak menurutnya lagi.
Satu perkara yang menarik perhatian penulis adalah berkenaan dengan sumber kewangan Kerajaan Negeri untuk menampung kos percetakan FAKTA.FAKTA diterbitkan hanyalah semata-mata untuk agenda politik Dato' Seri Nizar yang dibongkar oleh media masa.Akibat kepanasan,satu mekanisme untuk memuaskan hati sendiri telah diambil tetapi dengan menggunakan peruntukan dari wang rakyat dan peruntukan Kerajaan Pusat.
Tidakkah malu kepala Negeri Perak tersebut tatkala ada yang berazam untuk meniru Khalifah Bani Umaiyyah,Umar Abd Aziz, yakni tidak mencampurkan soal peribadi dengan wang rakyat,ada pula yang tidak segan silu dan hilang pertimbangan menggunakan dana tersebut untuk satu perkara yang tidak perlu.
Difahamkan buletin Citra Perak akan terus dicetak dan diedarkan secara percuma seperti biasa.Tidakkah molek,agar dimuatkan sahaja tindakbalas Dato' Seri Nizar dalam buletin yang sama.
Jangan nanti ada pula yang ingin mengaut kesempatan pula untuk mendapatkan projek peribadi terbaru Dato' Seri Nizar apatah lagi jikalau ianya kerap dicetak lebih dari Citra Perak sendiri.
Posted at 05:19 pm by maharaja_zhou
Permalink
Friday, November 21, 2008
Jangan Jadikan Kedah Jelapang Babi!
Penulis suka mengingatkan Kerajaan Negeri Kedah dengan Firman Allah dari surah Al-Maidah,ayat 3: Diharamkan kepada kamu (memakan) bangkai (binatang yang tidak disembelih) dan darah (yang keluar mengalir) dan daging babi (termasuk semuanya) dan binatang-binatang yang disembelih kerana yang lain dari Allah dan yang mati tercekik, dan yang mati dipukul dan yang mati jatuh dari tempat yang tinggi dan yang mati ditanduk dan yang mati dimakan binatang buas, kecuali yang sempat kamu sembelih (sebelum habis nyawanya) dan yang disembelih atas nama berhala dan (diharamkan juga) kamu merenung nasib dengan undi batang-batang anak panah. Yang demikian itu adalah perbuatan fasik. Pada hari ini, orang-orang kafir telah putus asa (daripada memesongkan kamu) dari agama kamu (setelah mereka melihat perkembangan Islam dan umatnya). Sebab itu janganlah kamu takut dan gentar kepada mereka, sebaliknya hendaklah kamu takut dan gentar kepadaKu. Pada hari ini, Aku telah sempurnakan bagi kamu agama kamu dan Aku telah cukupkan nikmatKu kepada kamu dan Aku telah redakan Islam itu menjadi agama untuk kamu. Maka sesiapa yang terpaksa kerana kelaparan (memakan benda-benda yang diharamkan) sedang dia tidak cenderung hendak melakukan dosa (maka bolehlah dia memakannya), kerana sesungguhnya Allah maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani. Sebenarnya, ayat ini amat bersesuaian dengan fenomena yang berlaku di negeri-negeri yang dikuasai Pakatan Rakyat.Penulis sengaja mengambil ayat ini secara penuh kerana ia melibatkan amaran daripada Allah agar kita tidak perlu terpengaruh ataupun takut dengan sekutu kita hanyalah kerana mahu mendapat sedikit undi yang murah.
Dilaporkan di dalam Utusan Malaysia hari ini bahawa Kerajaan Negeri akan mempertimbangkan pembukaan ladang penternakan babi di kawasan lain setelah Jabatan Veterinar tidak membenarkan perkara itu dilakukan di Bukit Selambau,Kedah. Blog Angin Perubahan menyebutkan bahawa ini melibatkan 162 hektar tanah bagi menampung 46,000 ekor babi bagi satu-satu masa.Dalam laporan Utusan Malaysia juga, Menteri Besar PAS Kedah tersebut turut berkata: "atas sebab teknikal itu, kemungkinan tapak lain yang lebih sesuai dan tidak menjejaskan keselesaan semua pihak akan dicari. Kita kena lihat sama ada pembukaan ladang penternakan babi ada bantahan atau tidak daripada orang ramai, sebab itu kena cari kawasan sesuai jauh dari penduduk." Oleh itu, sukalah penulis mengingatkan kepada Datuk Seri bahawa sebelum ini,jamaah Datuk Seri mengaitkan orang yang memberi lesen,menghidang atau menyediakan makanan yang haram itu samalah seperti orang yang memakan ataupun meminum perkara yang dilarang Allah. Namun,sekarang ini pendirian PAS setelah memiliki kuasa sudah berlainan.Sepatutnya, Datuk Seri tidak menawarkan mana-mana tapak di Bumi Jelapang Padi ini sebagai kawasan penternakan babi.
Sepatutnya Datuk Seri wajib lebih gentar kepada Allah sebagaimana dalam ayat 3,surah Al Maidah tadi dalam mengharamkan perbuatan memakan babi tersebut daripada gentar ataupun cuba mencari keredhaan dari sekutu partai Datuk Seri.Mereka ini sebelum ini telah berputus asa dalam menyesatkan parti Datuk Seri,namun, apabila parti Datuk Seri membuang penubuhan Negara Islam sebagai matlamat utama dan dengan izin Allah, parti Datuk Seri memenangi banyak kerusi dan menambah lebih banyak negeri dalam kekuasaan,parti Datuk Seri seolah-olah tidak yakin akan peringatan Allah pula.
Datuk Seri harus ingat bahawa rakyat negeri Datuk Seri belum sampai ke tahap lapar sehingga memaksa mereka memakan makanan yang haram tersebut. Ingatlah Datuk Seri, bahawa Kedah adalah negeri Jelapang Padi dan penulis yakin rakyat Kedah tidak sudi negeri tanah tumpah darah mereka ini menjadi negeri Jelapang Babi untuk menampung keperluan sesetengah pihak yang selama ini tidak redha dengan ugama Datuk Seri tersebut.
Buat masa ini, penulis menunggu apakah tindakan daripada Faisal Mustafa dan kuncu-kuncu anak negeri PAS Kedahnya,apakah kalian akan bersetongkol dengan perbuatan Kerajaan Negeri yang jelas bertentangan dengan hukum pengharaman babi ini?
Ataupun mereka akan kembali menyanyikan lagu sumbang yang lama,orang lain pun membuka ladang lagi besar untuk menyembunyikan perbuatan parti mereka ini!
Kita tunggu dan lihat kisah selanjutnya!
Posted at 07:02 am by maharaja_zhou
Permalink
Wednesday, November 19, 2008
DAP Punca Dato' Rafiah Tidak Disambung Kontrak?
Kebelakangan ini kita dapat perhatikan isu perlantikan ataupun lebih tepat penamatan kontrak bonda Dato' Rafiah Salim sedang di api-apikan oleh sesetengah pihak. Mereka ini cuba menghasut dan mengadu-dombakan Dato' Rafiah agar bertindak mengeluarkan kenyataan yang berbau anti KPT.
Oleh itu, penulis menasihatkan agar mahasiswa Universiti Malaya tidak turut sama menari di atas lantai yang kurang rata itu.Kita harus melihat sesuatu perkara tersebut dari sudut yang lebih besar dari ruang lingkup dunia mahasiswa semata-mata. Ada yang mengatakan bahawa AUKU adalah punca jatuhnya penarafan Universiti Malaya.Tetapi, harus diingat jikalau 'undang-undang cekik darah' AUKU itu puncanya, kenapakah 3 buah universiti (Peking University, Tsing Hua University, dan Chinese University Hong Kong) di China berada dalam 50 buah universiti terbaik dalam penarafan THES.
Semua maklum bahawa pemerintah Beijing bukanlah sebaik kerajaan Malaysia. Peristiwa Medan Tiananmen 1989 merupakan saksi kepada sikap pemerintah China terhadap mahasiswa yang melawan rejim komunis tersebut.Berapa ramai mahasiswa yang mati digilis kereta kebal tentera komunis China.Oleh itu, berdasarkan faktor tersebut, jika ada yang cuba mengaitkan AUKU dengan kelembapan Universiti terutamanya dari segi penarafan, kenyataan tersebut tidak berasas langsung.
Hakikatnya, kejatuhan Universiti Malaya disumbangkan oleh faktor-faktor seperti berubahnya tiang gol oleh pihak penilai THES,kurangnya pakar-pakar dari UM yang dikenali di peringkat antarabangsa di kalangan "peer","citation" kerja-kerja yang dilakukan oleh penyelidik-penyelidik UM, jumlah pensyarah yang mempunyai phD dan juga jumlah pelajar antarabangsa di UM.Kesemua ini tidak berkait dengan politik mahasiswa.Tiada indeks mahasiswa boleh berpolitik dalam penarafan THES.Oleh itu, sangkaan-sangkaan dan tuduhan dangkal pemimpin mahasiswa pembangkang seharusnya ditolak jikalau punca kejatuhan UM dikaitkan dengan kebebasan bersuara mahasiswa pembangkang.
Oleh kerana penarafanTHES,UM selalu menjadi sasaran di Parlimen,khususnya dari parti pembangkang. Kita seharusnya melihat faktor-faktor yang menyumbang rentetan peristiwa penamatan kontrak bonda Rafiah.Selepas kegagalan UM mendapat tempat sebagai "top 200" dunia perkara ini telah menjemput ulasan ahli Parlimen DAP:
"Universiti Malaya merupakan satu-satunya universiti yang mempunyai Naib Canselor yang tidak bergelar Profesor iaitu tiada PhD,"
"Mungkin ini yang menyebabkan kedudukan ranking UM jatuh sejak akhir-akhir ini,"
Lim Lip Eng (DAP-Segambut)
Ucapan ini dikeluarkan oleh Lim kepada Menteri Pengajian Tinggi, Dato' Seri Mohd Khaled Nordin ketika beliau menyampaikan ucapan penggulunggan Bajet 2009 di Dewan Rakyat 3 November lalu. Perkara ini dilaporkan oleh Intan Abdullah dalam artikel bertajuk:UM merudum kerana Naib Canselor tiada PhD?(Nota:Oleh itu, Intan Abdullah juga ber"dosa" kerana mewarwarkan perkara ini sehingga sampai ke laman web mahasiswa pembangkang dan tatapan umum pembaca Harakah).
Penulis merasa sedih kerana pemimpin mahasiswa pembangkang yang lantang bersuara tidak mengkritik ucapan oleh Lim dan tidak pula beria-ia mempertahankan Bonda Rafiah yang dihina oleh ahli Parlimen Segambut semasa kenyataan ini masih lagi segar.Tetapi, apabila KPT bertindak berdasarkan tekanan pihak pembangkang terutamanya DAP, barulah keluar 'air mata buaya' pemimpin mahasiswa pembangkang menyokong Bonda Rafiah.
Tidakkah ini satu hipokrasi pemimpin mahasiswa pembangkang namakan sahaja PMIUM dan pembangkang MPPUM bertopengkan Pro-M?
Jikalau Bonda Rafiah disambung kontrak nescaya pihak mahasiswa pembangkang ini akan mengkritik KPT kerana masih mengekalkan Bonda Rafiah yang tidak berjaya walaupun berusaha keras dan gigih untuk menaikkan kedudukan UM kembali ke tangga 200 Universiti terbaik dunia.
Mereka akan menyebarkan fitnah bahawa cengkaman isteri seorang ahli kabinet masih berpengaruh dalam menentukan siapa NC universiti-universiti Malaysia sebagaimana tuduhan palsu lagi tidak bertanggungjawab Norazali Zainuddin, Exco PMIUM merangkap Pengerusi Pro-Mahasiswa Nasional terhadap Profesor Dato' Ghauth Jasmon, NC baru UM, sebagai kroni Dato' Khaled dan Dato' Idris kerana berasal dari satu negeri.
Oleh itu, penulis menyeru kepada mahasiswa dan juga Bonda Rafiah supaya tidak terpedaya dengan dakyah palsu mahasiswa pembangkang yang terkenal dengan taktik kotor dan adu-domba mereka semata-mata untuk memburukkan kerajaan.
Posted at 01:21 pm by maharaja_zhou
Permalink
Saturday, November 15, 2008
Antara Andalusia,Mudajjal dan PKR
1492 merupakan tahun di mana kerajaan Islam terakhir di Semenanjung Iberia ditumbangkan. Kerajaan Nasiriyyah Granada yang berajakan Abu 'abd-Allah Muhammad telah dikepung oleh Kerajaan Aragon dan Castille.400,000 nyawa umat Islam berada dalam ancaman. Setelah perundingan dijalankan dan Perjanjian Granada dimeterai pada November 1491, 2 bulan kemudian, Abu 'abd-Allah Muhammad telah menyerahkan kunci Kota Granada kepada Isabella dan Ferdinand.
Perjanjian Granada bunyinya sungguh indah.Orang Islam dibenarkan melaungkan azan seperti biasa. Orang Kristian tidak dibenarkan mengintai-intai rumah orang Islam lebih-lebih lagi Masjid.Malahan, jikalau ada orang Kristian Sepanyol yang mengejek-ejek orang Islam,mereka akan dihukum mengikut Perjanjian Granada.
Cantiknya Perjanjian Granada. Tidak hairan,Abu 'abd-Allah boleh mengalah. Penambah perisanya, dalam sejarah Granada,kota tersebut dipendekkan umurnya oleh sekumpulan orang Islam yang di dalam tarikhnya disebut sebagai Mudejar.Mudejar adalah orang Islam yang tinggal di bawah pemerintahan Kristian Sepanyol.Mereka juga bersama-sama dengan Kerajaan Kristian Sepanyol meruntuhkan kerajaan Islam terakhir di bumi Iberia itu.
Mudejar dikatakan berasal dari perkataan mudajjan,yakni orang yang dijinakkan (untuk berada di bawah naungan kerajaan Kristian Sepanyol)tetapi ada yang mengatakan bahawa ia dari perkataan mudajjal.Maknanya, faham-faham sendirilah.Tidak kurang juga di antara mereka putera-putera raja Muslim Sepanyol yang mengira-ngira untuk mendapat laba dari tuan Kristian Sepanyol mereka samada menjadi menteri ataupun upah khianat mereka.Mereka ini juga menjadi dajjal di sebalik runtuhnya Kota Granada.
Tetapi, janji hanya tinggal janji.Tahun 1499, perjanjian itu diingkari,Cardinal Francisco Jiménez de Cisneros telah memulakan pengKristianan paksa orang Islam di Granada. Dikatakan,rumah-rumah keturunan Muslim dipaksa menggantung babi,tanda mereka bukan lagi Islam.Inkuisi Sepanyol dimulakan,sesiapa sahaja yang tidak Kristian Katolik disalib dan mata mereka dicungkil. Ribuan muslimin dipaksa murtad. Walaupun pemerintahan Abu Abdullah tidak sempurna (dan dikatakan beliau telah merebut kuasa dari bapanya sendiri), tetapi dia masih Islam dan iman umat Islam masih terjaga di bawah pemerintahannya yang dikritik sebagai lemah dan lembab.
Maka,jika dilihat kepada senario hari ini, kita melihat hikmah mempunyai dan dinaungi oleh sebuah kerajaan Islam diambil mudah.Orang menganggap ia mudah datang dan mustahil untuk pergi. Alasan untuk menumbangkan kuasa sesuatu kerajaan Islam cukup mudah,atas nama memerangi korupsi,kezaliman dan kronisme adalah panji-panji murah yang dikibarkan oleh sesetengah pihak.
Adakah tidak terguris hati sebahagian umat apabila baru sahaja didedahkan 301,000 isi rumah orang Melayu Islam masih di bawah RM1000, Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang,P Ramasamy ingin membuka jawatan-jawatan kerajaan negeri kepada semua orang. Dan mendukacitakan lagi,dia tidak segan silu memfitnah orang Melayu/Islam yang berjawatan di peringkat kerajaan negeri mengoyak borang permohonan orang bukan Melayu yang memohon.
Tiada pula tindakbalas daripada orang Melayu Parti Keadilan Rakyat di dalam kerajaan negeri. Seolah-olah mereka sudah dijinakkan seperti mudejar Kerajaan Kristian Sepanyol. Apakah mereka tidak berfikir antara jawatan dalam kerajaan negeri tersebut termasuklah jawatan di pejabat ugama?Adakah nanti atas nama samarata, Pulau Pinang akan mempunyai Kadi beragama Hindu,Kristian ataupun Buddha?Nampaknya lucu, tetapi usikan ke arah itu sudah mula berlaku.
Menghairankan lagi mudejar-mudejar ini terus melakukan apa sahaja untuk menyedapkan hati sekutu mereka.Mereka memuji Adun Canning sebagai pandai membaca Al Quran tetapi musuh mereka yang Islam pula sebagai orang yang dibenci Tuhan. Mereka berbangga apabila Lim Guan Eng hendak menjadi Umar Abd Aziz tanpa menyedari bahawa Allah tidak akan memandang kepada bagaimana berazamnya seseorang yang kafir itu mencontohi kebaikan seorang mukmin melainkan ia dimulakan dengan si empunya badan itu melafazkan dua kalimah syahadah.
Apakah tidak sedih Umar Abd Aziz, apabila seseorang yang tidak berkhitan itu yang dipuja dan dipuji dan disamakan dengan beliau oleh orang yang mengaku muslim dan mukmin? Jadi,tidakkah sama nilai mereka ini dengan mudajjal?
Oleh itu,janganlah kerana digula-gulakan dengan orang lain pandai menyebut nama seorang dua khalifah Islam dan tahu barang satu dua ayat al Quran dan Hadith, kita hendak menggadaikan kuasa yang ada pada kita.
Ingatlah, orang Islam Granada dijanjikan perkara yang jauh lebih baik dari itu untuk memujuk mereka agar menyerahkan kuasa politik mereka. Tetapi, harga yang perlu mereka bayar akhirnya adalah untuk berada di tiang-tiang salib dengan mata yang dikorek dan kaki tangan mereka dikudungkan.
Posted at 08:25 pm by maharaja_zhou
Permalink
Thursday, November 13, 2008
Benarlah Bahawa Geng Sekam Cinta Pukul Pegawai HEP !!
*Nota:Artikel ini ditulis oleh penulis pada 28 Januari 2008,hampir menjelangnya Tahun Baru Cina. Sekam Cinta merujuk kepada sebuah siri drama di TV3 yang mengisahkan seorang professional yang akhirnya terlibat dengan kegiatan kumpulan pengganas. Walaupun 2 tahun berlalu, artikel ini amat relevan dengan perjuangan mahasiswa samada perjuangan tersebut akan menjadi Jihad yang pejuangnya mendapat keredhaan Allah ataupun perbuatan tersebut hanyalah suatu kejahatan yang membawa fitnah kepada Deenul Islam.
Tahun Baru Cina bakal menjelang, Awal Muharam tidak lama menyusul
dari belakang. Namun, malang sekali, kita melihat gerakan
mahasiswa PAS lebih bajingan, barangkali sempena menghampiri
tahun anjing. Kita tidak tahu kalau menjelang tahun babi,
mahasiswa PAS lebih membabi buta pula sifatnya sempena mengikut
horoskop Cina tersebut.
Peristiwa terpukulnya saudara Kalam Azad merupakan
detik sedih kepada mahasiswa. Kebiadapan ahli dan bekas ahli
PMIUM yang bertindak memukul dan menerajang Kalam Azad menunjukkan
bahawa sifat militan dan penakut memang tidak dapat dipisahkan
daripada PMIUM. Mereka ini yang sudah berbai'ah dan beraku
janji dengan cita-cita perjuangan yang ganas ala Sekam Cinta
ini tidak segan silu untuk menggunakan kekerasan. Kebijaksanaan
yang Allah Taala berikan kepada mereka digunakan pada jalan
yang bathil. Kecintaan mereka kepada umat telah dikorupkan
oleh geng Sekam Cinta sehingga menyebabkan mereka tidak dapat
membezakan di antara Islam yang sebenar dengan perjuangan
yang bathil. Maka, terungkaplah apa yang diindoktrinkan dalam
usrah-usrah dan tamrin-tamrin PMI dalam bentuk perbuatan.
Selama ini, mereka hanya menerbitkan sifat jahat mereka dalam
bentuk pemaksaan siswi-siswi berempit, berdemonstrasi tidak
kira tempat dan juga memorandum biadap. Tetapi, hari ini kita
dapat melihat bahawa mereka tidak segan silu untuk menggunakan
terorisme untuk mencapai matlamat mereka.
Mangsa kali ini adalah sdr. Kalam Azad, seorang
pegawai HEP Universiti Malaya yang tidak jemu-jemu menjaga
kebajikan dan keselamatan mahasiswa Universiti Malaya. Oleh
kerana takut akan kebejatan mereka terbongkar, maka ahli Sekam
Cinta bernama ZainulFaqar alias Syamsul Azura, Ghadafi dan
juga Khairul Anwar Mat Zuki alias Mat Sabu pantas memukul
sdr Kalam untuk memastikan tiada lagi gambar diambil untuk
diambil sebagai bukti penglibatan mereka dengan PAS. Perkara
ini penting kerana ada di antara mereka ini yang berkhidmat
dengan kerajaan di Putrajaya, maka adalah penting pekung ini
ditutup.
Tidak dapat diselindungkan pula bahawa penyokong
mereka berasa bangga pula dengan tindakan teroris tersebut
melalui ruangan Ucapan Siswa Idealis Mahasiswa: BARU
diterima pada: 21 Januari 2006
daripada: anbu_squad
kepada: kalam/kelam
ucapan:
kalam kenapa hatimu kelam
seperti berada dalam kegelapan
bagaikan haruan makan ikan
mengapa engkau menjadi org suruhan
kalam ditampar oleh seorang pejuang islam
semasa demontrasi utk membertahankan artikel 121(a)
20 januari 2005...masjid negara..kerana sikap kurang ajarnya Wa makaru, wa makarollah, wallahu khoirul makiriin,
mereka merancang, Allah merancang, tetapi Allah jua sebaik-baik
perancang. Jika mereka lepaskan Kalam Azad bebas dan merdeka,
maka tiadalah mudarat bagi mereka. Tetapi, kerana naluri pengganas
yang meresap di hati, maka akhirnya mereka bakal terjebak.
Diberitakan bahawa sdr. Kalam sudah melaporkan kepada Balai
Polis Brickfield akan kejadian tersebut dan suatu medical
check up telah diadakan di Hospital Kuala Lumpur.Begitulah
hebatnya perancangan Allah untuk membongkar sifat ganas PMIUM. Dilaporkan juga tisu rahang sdr Kalam terkoyak
akibat pukulan penganas-pengganas geng Sekam Cinta cawangan
Universiti Malaya tersebut mengakibatkan beliau sukar berkomunikasi
dan makan. Kita hairan mengapakah saudara Kalam yang terkenal
berhemah ini menjadi mangsa, apakah mereka akan mengambil
tindakan yang sama jika Mahaganapathy yang berada di situ?
Nyatalah pengkhianat-pengkhianat bangsa ini hanya berani memukul
bangsa sendiri. Seperti yang dicabar Syamsul Azura yang semakin
takut menanti Zainul Faqar dipenjarakan, pihak berwajib telah
menyiasat dan akan mula mengambil keterangan dari beliau tidak
lama lagi. Maka, kita akan melihat bahawa kebenaran akan pasti
muncul dan kebathilan akan hancur dengan sendirinya walau
mereka yang derhaka kepada Allah, dan Rasul serta mereka yang
berkuasa di kalangan mereka, amat membencinya. Saat kehancuran
buat mereka pasti akan tiba.
Tindakan sdr Kalam mengambil gambar tatkala
demonstrasi berlaku adalah hak beliau. Ini perkara asas dalam
hak asasi manusia. Jika SMM menuntut agar hak mereka berdemonstrasi
dibenarkan, salahkah pula orang yang hendak mengambil gambar?
Adakah kerana beliau pegawai HEP maka dinasabkan haram hukumnya
pula untuk pegawai HEP memetik kamera? Apakah kerana beliau
pegawai HEP maka boleh geng Sekam Cinta cawangan Universiti
Malaya memukul sehingga mencederakan sdr Kalam? Inilah bukti
bahawa kebebasan bersuara yang diperjuangkan oleh PMIUM, GAMIS
dan SMM omongan kosong semata-mata. Jika memetik gambar pun
dibelasah, maka apa yang akan terjadi jika kita serahkan kampus,
dan lebih besar lagi negara kita kepada golongan seperti ini.
Negara kita akan menjadi huru hara dan hukum rimba bakal menjadi
undang-undang Malaysia.
Akhir kalam, saya ingin menasihatkan kepada
pihak laman web mahasiswa pembangkang, jika anda ingin hilang
kredibiliti anda, teruskanlah menyiarkan kenyataan Syamsul
Azura berkenaan hal ini. Jangan biarkan kebodohan seseorang
menjejaskan perjuangan anda di jangka masa yang panjang. Jika
tidak pandai menyembunyikan jejak, maka janganlah disabitkan
orang lain akan kesalahan kita.Salah langkah laman web tersebut
pula dikatakan menghasut untuk bersama dalam demonstrasi haram
yang mengakibatkan saudara Kalam dipukul. Biarlah dia dengan
blognya sahaja yang tenggelam mempertahankan egonya yang karam
itu.
Buat pengakhiran, Selamat Awal Muharam dan Selamat
Tahun Baru China!
Posted at 01:48 pm by maharaja_zhou
Permalink
Monday, November 10, 2008
PMIUM Isytihar Perang Ke Atas NC Baru UM?
Penulis baru-baru ini melihat video DEMO sekumpulan gadis-gadis bukan Islam yang nampaknya berperawakan tomboy membantah fatwa pengharaman Tomboy oleh Majlis Fatwa Kebangsaan. Terdetik rasa hati penulis, jikalau DEMA turut mengeluarkan kenyataan yang menyokong tomboy-tomboy tersebut, adakah penjaga agama akan bersama agama ataupun bersama DEMA?
Setakat ini, tiada sokongan atau kenyataan yang dikeluarkan oleh penjaga agama dan kumpulannya secara rasmi.Mungkin mereka menunggu Salahuddin Ayub ataupun Idris Ahmad bersuara, barulah mereka ini bergegas menjaga ugama. Begitulah nasib agama kita, semuanya perlu menunggu keputusan jamaah yang politikal. Jika ia tiada untung dalam mengenakan kerajaan, biarkan ia sahaja.Biarkanlah orang kata sebarangan terhadap agama jikalau ia dilakukan oleh sekutu harbi jamaah politik tersebut.
Maka, diberitakan penjaga solidariti dan kompeni telah melawat bekas Naib Canselor Universiti Malaya. Penulis memuji tindakan demikian. Begitulah caranya mahasiswa menghormati yang lebih tua.Namun, alangkah baiknya jikalau sikap sebegini ditunjukkan oleh gerombolan ini terhadap pimpinan lain universiti dan juga pimpinan negara. Cuma, janganlah pula tindakan baik ini disusuli pula dengan perbuatan bersifat baling batu sembunyi tangan dan telunjuk lurus kelingking berkait.
Inilah yang dikesali penulis apabila Dato' Rafiah Salim ingin diadu-dombakan oleh Pengerusi Pro-Mahasiswa Nasional, Norazali Zainuddin dengan Kementerian Pengajian Tinggi. Tidak perlulah kes 48 jam itu diperbesar-besarkan. Kerana biarlah Dato' Rafiah dipandang sebagai wira yang menaikkan kedudukan UM, 8 anak tangga lebih tinggi dalam THES dan dinobatkan sebagai universiti terbaik Malaysia. Dan adalah lebih afdhal juga dibesar-besarkan jasa Dato' Rafiah yang mementingkan Key Performance Index (KPI) dalam pentadbirannya.
Biarkanlah si Bonda pergi dengan rasa dihargai dan besar hati bukannya dicucuh lagi kebencian dan adu domba. Ini bukan kerja seorang ahli Majlis Mesyuarat Kampus yang pernah berbai'ah kepada Allah Taala.Bukan sahaja tiada pahala tetapi juga tiada nilai akademik dan inteletual sehingga boleh dibidas oleh seorang non Muslim yang bernama Lau Kok Hwa.
Namun, persoalan kini adakah Pengerusi Pro-Mahasiswa Nasional sedar apa yang ditulisnya?Penulis melihat sebarang tindakan KPT khususnya dan kerajaan umumnya adalah buruk pada pandangan aparat-aparat PAS yang bertopengkan mahasiswa ini. Malahan, perlantikan Naib Canselor baru Universiti Malaya,Professor Dato' Dr. Ghauth Jasmon ini dipandang sinis oleh Norazali yakni ibarat kata Lau Kok Hwa sebagai "mengikut perasaan".
Mungkin si Norazali cuba menjadi lain dari orang lain serta berpandangan lateral tetapi pandangannya bertepatan sekali dengan lirik sebuah lagu nasyid yang popular:
Pandangan mata selalu menipu,
Pandangan akal selalu tersalah,
Pandangan nafsu selalu melulu,
Pandangan hati itulah yang hakiki,
Kalau hati itu bersih.
Lantas dituduh perlantikan Professor Dato' Ghauth sebagai perlantikan kroni.Tuduhan tiada asas ini tentulah memalukan Universiti Malaya dan penulis merasakan Pengerusi Pro-Mahasiswa Nasional ini sebagai mahasiswa UM dan exco PMIUM perlu meminta maaf kepada NC UM di atas kebiadapan dan keceluparannya dalam artikelnya. Walaupun hanya sebagai nukilan di dalam blog, ia telah diambil oleh mahasiswa pembangkang sebagai satu artikel yang menarik perhatian lebih 500 orang pembaca di laman mereka. Tentulah ini mencemarkan nama baik Universiti Malaya di hadapan ramai pembaca dan pengikut laman web tersebut.
Rasa sangsi dan tiada hormat terhadap perlantikan Prof.Dato' Ghauth Jasmon dinukilkan sebagai "seperti menukar pakaian" oleh Norazali. Kita menunggu tindakan daripada pihak Universiti dan meminta agar sebelum apa-apa tindakan ini dimulakan, Norazali sepatutnya memberi surat tunjuk sebab kepada ayahanda Prof. Dato' Ghauth di atas tuduhan palsu tersebut.
Jikalau PMIUM bermaruah, sepatutnya tindakan bijak PMIUM adalah memecat Norazali dari jawatan exco PMIUM yang disandangnya.Jika tidak, ini bermakna PMIUM telah mengisytiharkan perang terhadap Prof. Dato' Ghauth Jasmon, NC baru Universiti Malaya kerana pandangan Norazali itu adalah pandangan yang berautoriti dari seorang "menteri kabinet" PMI.
Sebenarnya, penulis yakin Prof. Dato' Ghauth sudah masak dengan perangai aparat-aparat PAS di kampus. NC baru UM tersebut mempunyai pengalaman sebagai Dekan Fakulti Kejuruteraan yang banyak melihat perpecahan ummat hanya disebabkan oleh perbezaan jamaah dan ideologi politik terutamanya di kalangan pensyarah-pensyarah. Oleh itu, selain daripada menaikkan kedudukan UM sebagai menara gading tertua di dunia dalam persada akademik dan penyelidikan, NC baru ini juga akan bertindak atas pengetahuannya tentang perangai dan sikap ahli-ahli jamaah PAS yang hanya melemahkan UM sebagai pusat ilmu akibat aktiviti subversif mereka.
Mereka ini melemahkan pelajar dengan takwim perkaderan. Untuk pensyarah pula, mereka ini hanya mengambil kroni-kroni mereka sahaja di jabatan yang mereka kuasai. Kita boleh lihat penerbitan mereka pun tidaklah setara mana berbanding professor-professor terutamanya dari jamaah Tabligh dan JIM kerana puak-puak PAS ini banyak tertumpu kepada kerja politik semata-mata.
Dengan itu, penulis tidak lupa untuk mengucapkan selamat maju jaya kepada Prof. Dato' Dr. Ghauth Jasmon dan selamat datang ke Universiti Malaya.Semoga pentadbiran Dato' akan membawa Universiti Malaya ke arah kecemerlangan, kegemilangan dan terbilang di Malaysia dan Antarabangsa.
Posted at 11:15 am by maharaja_zhou
Permalink
Saturday, November 08, 2008
Apabila Penjaga Agama Menjadi Penjaga Solidariti
Muktamar JIK(Jamaah Islam Kampus) biasanya diadakan lebih awal dari muktamar PMI. Selalunya dalam sebulan ataupun dua bulan.Muktamar PMI hanyalah kulit ataupun wayang sahaja. Mana tidaknya, ia perlu diadakan supaya ia kekal sah dan juga sebagai indikator bahawa seperti persatuan yang lain,mereka juga beraktiviti. Namun, aktiviti yang ditunjukkan hanyalah yang legal semata-mata. Yang haram semuanya dibentangkan semasa muktamar JIK. Tidak penulis ketahui seratus-peratus samada pucuk pimpinan JIK sudah berubah. Biasanya amir kampus memegang juga jawatan Presiden PMI. Penulis cuba menjadi nujum pak belalang,meneka sama ada sudah berubah ataupun tidak struktur tanzim jamaah tersebut tatkala Presidennya sekarang sudah menjadi Pengerusi Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM). Sekiranya belum lagi,maka Amir Kampus memegang satu lagi jawatan jamaah yang sangat membebankan apatah lagi jikalau berlatarbelakangkan "tarbiyyah". Biasanya, aparat PMI yang memegang jawatan Pengerusi SMM terpaksa banyak beralah terutama sekali dari aspek ke"thiqahan"nya. Orang yang menjadi Pengerusi SMM banyak berhubung dengan DEMA (sayap politik DAP di kampus-kampus),mengeluarkan kenyataan akhbar yang merugikan umat Melayu dan umat Islam serta terlibat dalam demonstrasi atau perarakan yang tiada faedah dari segi ugama yakni meniru perbuatan kafirin seperti membakar lilin,membawa keranda dan sebagainya. Mungkin juga dihantar Haafizuddin kerana nampaknya si empunya badan dirasakan kuat dan mampu berhadapan dengan cabaran seperti ini. Mungkin juga dihantar oleh si penjaga ugama ini kerana beranggapan orang lain sebelum ini hanyut dengan kelaghaan non muslimah di dalam mesyuarat-mesyuarat bersama DEMA. Selama ini, sang Pengerusi-pengerusi SMM hanyalah sesuai berhadapan dengan muslimah/siswi yang cukup sifat auratnya,tetapi pabila memakai baju SMM,terlupalah bahawa mereka ini pernah berbai'ah bukan sahaja setakat pimpinan Jamaah kampus dan PAS Pusat tetapi juga kepada Allah Taala. Majlis Syura Kampus mungkin telah memberi kata jawabnya melihat keghaflahan pengerusi-pengerusi SMM sebelum ini.Maka,inilah masanya Haafizuddin merubah kealpaan orang-orang yang terdahulu yang pernah tercabut thiqahnya di pandangan masyarakat samalah tercabutnya ketayap mereka dalam mesyuarat SMM.Adakah "solid" ugama si penjaga agama?Itu persoalan yang akan diperhatikan ramai. Jikalau tidak,maka malanglah sekali sang penjaga agama.Bukan sahaja rugi di pandangan mahasiswa tetapi rugi juga di pandangan agama.Penulis mengucapkan takziah atas taklifan baru ini yang seolah-olah seperti yang dikejar tak dapat,yang dikendong berciciran(harapnya yang tercicir itu bukanlah agama).
Posted at 08:28 pm by maharaja_zhou
Permalink
Tuesday, November 04, 2008
Betulkah JIK/PMI Hendak Boikot Pilihan Raya Kampus Akan Datang ?
Menelusuri pemikiran dan strategi aparat-aparat PAS di kampus-kampus sebenarnya bukan suatu perkara yang sukar. Jikalau seseorang itu telah bergelumang dengan politik kampus untuk 3 tahun berturut-turut, pola dan rentak tari pemain-pemain JIK/PMI boleh diduga dengan pantas sekali.
Setiap gerakan mahasiswa ataupun jamaah sebenarnya seperti seni mempertahankan diri. Dalam cerita silat ataupun kungfu,jikalau lawan memahami dan dapat menduga gerakan lawan,maka ia adalah penghujung nyawa bagi yang dilawan.Maka, bagi sesiapa yang ingin menguasai rentak tari politik kampus apatah lagi yang didasari atas dasar ideologi dan/ataupun jamaah,pembacaan bunga dan seni tari lawan amatlah penting dalam memenangi pertarungan di alam tersebut.
JIK/PMI mempunyai rentak dan bunganya yang tersendiri. Jurusnya paling tinggi adalah hikmat pengikis sarafnya dalam politik kampus. Tetapi, roh yang digunakan untuk menguatkan segala pukulan dan mengasbabkan kekebalannya adalah pemujaannya terhadap PAS dan pimpinannya. Dan untuk mendapatkan bantuan berterusan ini,mahasiswa dikorbankan melalui upacara bai'ah. Syahdan mahasiswa terus dijadikan tenaga kerahan semasa pilihanraya kecil mahupun umum untuk santapan roh agung tersebut.
Maka,diserulah segala hamba jamaah PMI/JIK seantero kampus untuk memboikot pilihanraya kampus. Tentulah ironi sekali. Adakah ini lawak sitcom terbaru waris-waris Raja Lawak Parti Mahasiswa Negara (PMN) [yang mana hilang langsung selepas pilihanraya umum yang lepas?]. Sanggupkah mahasiswa yang berbai'ah dengan PAS ini memboikot pilihanraya kampus?
Penulis tidak yakin mereka berani memboikot pilihanraya kampus dan penulis mencabar mereka untuk melakukannya.Oleh itu, penulis mengingatkan kepada mereka agar jangan berkata sesuatu perkara yang mereka tidak (akan?) lakukan.Dan ini termasuklah memboikot pilihanraya kampus.
Aparat-aparat PAS ini membuat seribu satu alasan untuk memboikot pilihanraya kampus tetapi itu hanyalah sekadar omongan sahaja. Ini adalah untuk memastikan bahawa pihak lawan tidak bersedia, padahal mereka sejak dari Minggu Haluansiswa lagi sudah mula berkempen dan menyiapkan Operasi Gerak Gempur mereka untuk propaganda mereka.
Matlamat mereka dalam menggembar-gemburkan pemboikotan itu(yang tidak akan mereka lakukan) untuk menarik perhatian mahasiswa supaya bersimpati dengan mereka. Mereka cuba menanamkan perasaan benci kepada Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dan juga pihak Universiti supaya sokongan mahasiswa beralih kepada mereka.
JIK/PMI mahu agar mahasiswa yang terpengaruh,akan turun mengundi dengan marah serta akan mengundi calon-calon mereka yang termakan dengan taktik dan tipu-muslihat mereka. Mereka menjangka mahasiswa akan marah dengan hasutan bahawa mahasiswa sedang ditindas dan penindasan itu adalah dirancang secara teliti oleh pihak KPT.
Hairan sekali,KPT yang mempunyai banyak perkara untuk difikirkan seperti perancangan belanjawan Universiti-universiti, perlantikan pensyarah-pensyarah berwibawa, peruntukan geran-geran penyelidikan bertaraf dunia,peningkatan penarafan IPT tempatan serta pengkomersialan produk-produk boleh mempunyai masa untuk merancang menindas mahasiswa.Mahasiswa pembangkang tentu suka berkhayal ataupun takut dengan bayang-bayang yang tidak wujud. Tidak hairanlah jika Mastika terus diminati ramai termasuklah mahasiswa pembangkang.
Mahasiswa PAS menjangka keputusan pilihanraya umum bakal mempengaruhi pilihanraya kampus.Mereka hendak membuat taktik"reverse psychology"kepada mahasiswa. Ini samalah taktik yang digunakan oleh Ketua Menteri Pulau Pinang sekarang, Lim Guan Eng (yang sering dikaitkan oleh mahasiswa PAS dengan Umar Abd Aziz,jikalau beliau mengetahui perkara ini,tentulah beliau sendiri akan menangis).
Lim pernah mengingatkan pengundi PRU yang lepas supaya kalau hendak mengundi BN pun,janganlah bagi BN menyapu semua kerusi. Natijahnya, Pulau Pinang berketua menterikan DAP dan PAS dengan tidak malunya meminta sedekah (yang ditolak buta-buta) sebagai Menteri Nikah Kahwin negeri.
Semua taktik ini adalah biasa bagi JIK/PMI. Meraih simpati adalah norma bagi PMI/JIK. Maka, penulis mencabar PMI/JIK agar benar-benar memboikot pilihanraya kampus akan datang di kampus-kampus yang belum diadakan lagi.Kita akan melihat samada mereka akan tergolong menjadi puak-puak yang bercakap apa yang mereka buat ataupun sebaliknya.
Rujukan:Boikot pilihan raya kampus akan datang, Ahmad Albab At Tabani,Harakahdaily, 4 November 2008
Posted at 08:36 pm by maharaja_zhou
Permalink
|
 |
 |
 |
 |
 |
 |
|
|